Jika Malaysia tak sahkan, berita tentang 1MDB adalah palsu


Amin Iskandar

Pihak kerajaan berpandangan selain dari maklumat yang disahkan pihak yang berkuasa negara ini, apa-apa maklumat yang selain darinya akan diiktiraf sebagai maklumat palsu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Johari Jailani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

PIHAK berkuasa Malaysia sudah menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan maklumat tidak disahkan pihak berkuasa negara ini berkaitan dengan syarikat sarat hutang itu merupakan berita palsu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Johari Jailani.

Katanya, kes ini sudah disiasat pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang diwakili ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. 

“Cadangan PAC telah diterima penuh dan dilaksanakan kerajaan sepenuhnya. 

“Proses rasionalisasi juga dilakukan dengan baik, sehubungan itu pihak kerajaan berpandangan selain dari maklumat yang disahkan pihak yang berkuasa yang disebutkan tadi, apa-apa maklumat yang selain darinya akan diiktiraf sebagai maklumat palsu,” kata ahli Parlimen Hulu Terengganu itu di Dewan Rakyat hari ini.

Johari menjawab soalan Dr Tan Kee Kwong (PKR-Wangsa Maju) dan Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) tentang berita palsu berkaitan dengan 1MDB.

Johari daripada PKR yang mencelah berkata, perkara-perkara berkaitan dengan 1MDB ini sentiasa ditimbulkan kerana rakyat tidak mendapat jawapan yang tepat.

“Dalam kes 1MDB, menteri tidak boleh katakan ia selesai kerana saya tidak boleh bertanya di Parlimen kerana ia rahsia. 

“Peranan kementerian menjelaskan perkara ini, kalau ia rahsia, katalah (kepada) wahai rakyat Malaysia, isu 1MDB diklasifikasikan sebagai rahsia. 

“Ini bermakna kementerian, AG (peguam negara) cakap lain, PM cakap lain, soal rakyat percaya atau tidak itu soal lain kerana 1MDB adalah rahsia,” katanya.

Menjawab persoalan dibangkitkan ahli Parlimen PKR, timbalan menteri itu berkata isu 1MDB sudah lama selesai dan pihak pembangkang seringkali menimbulkan isu-isu lama.

“Jadi saya ingat perkara berkaitan dengan 1MDB ini kita tak perlu perhalusi kerana sudah jelas seperti yang saya umumkan tadi.

“Kita dapati apa-apa yang ditimbulkan berkaitan dengan 1MDB adalah merupakan satu berita palsu,” katanya.

Bulan lepas pihak berkuasa Indonesia merampas sebuah kapal layar mewah di pulau Bali yang dicari oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan siasatan rasuah berbilion dolar melibatkan 1MDB).

Kapal The Equanimity bernilai AS$260 juta (RM800 juta) itu didakwa dibeli oleh bekas penasihat tidak rasmi 1MDB,  Low Taek Jho atau Jho Low yang disyaki DoJ sebagai dalang dalam skim untuk mencuri dari dana pelaburan negara. – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ye ke dh siasat?sayangnya rakyat msia x cayakan siasatan msia

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan