Amelia Henderson fail rayuan terhadap perintah bayar ganti rugi kepada A Aida


Pelakon Amelia Henderson didakwa melanggar kontrak penggambaran drama berjudul 'Sekali Lagi Cinta Kembali'. – Gambar Instagram, 10 Mei, 2023.

PELAKON Amelia Henderson memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada penerbit filem dan drama A Aida kerana melanggar kontrak penggambaran drama berjudul ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’.

Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman, yang mewakili Amelia, 28, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson ketika dihubungi pemberita berkata, notis rayuan itu difailkan pada 18 April lalu di Mahkamah Tinggi.

Menurut peguam itu, pengurusan kes untuk rayuan ditetapkan pada 26 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin.

Pada 7 April, Mahkamah Sesyen memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang menerusi syarikatnya, A Aida Production Sdn Bhd selepas membenarkan tuntutan saman syarikat itu terhadap pelakon drama ‘Kisah Cinta Kita’.

Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Amelia selaku defendan membayar ganti rugi am RM90,000; pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920 dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada A Aida selaku plaintif.

Hakim itu turut membenarkan permohonan A Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April.

Pada 28 Julai 2022, A Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri pada saat akhir daripada penggambaran.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama itu.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon itu. – Bernama, 10 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen