Polis Kelantan ingatkan rakyat Thailand pulang mengundi guna laluan sah


ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas dan ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat adalah antara laluan pintu masuk yang sah dari Malaysia ke Thailand. – Gambar Facebook, 10 Mei, 2023.

RAKYAT Thailand yang bekerja di Kelantan diminta menggunakan laluan sah untuk pulang mengundi di negara tersebut pada Ahad ini.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata penggunaan laluan yang betul dan sah adalah penting bagi mengelak mereka tertangkap.

“Rakyat Thailand yang bekerja di Kelantan perlu gunakan laluan yang betul, tidak boleh menggunakan jalan salah kerana perbuatan ini akan menyebabkan dia boleh ditahan dan hilang hak mengundi.

“Kalau rakyat Thailand ditangkap semasa menyeberangi sempadan menggunakan laluan tidak sah, (mereka tidak dapat pulang) akan hilang kelayakan mengundi dan ini boleh merugikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, malam tadi.

Terdapat tiga laluan pintu masuk yang sah dari Malaysia ke Thailand iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Jeli, ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas dan ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat.

Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada 14 Mei. – Bernama, 10 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen