AS sahkan Ukraine guna Patriot tembak jatuh peluru berpandu Russia


Bateri peluru berpandu Patriot seperti yang digunakan di Gunung Carmel, Haifa, Israel pada September 2012. – Gambar fail EPA, 10 Mei, 2023.

TENTERA Ukraine menembak jatuh peluru berpandu hipersonik Kinzhal milik Russia dengan menggunakan sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Anadolu, memetik jurucakap Pentagon pada Selasa.

“Saya boleh mengesahkan mereka menembak jatuh peluru berpandu Russia dengan menggunakan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot.

“Sistem pertahanan ini sebahagian daripada pertahanan udara yang dibekalkan oleh AS dan masyarakat antarabangsa kepada Ukraine,” kata Patrick Ryder pada taklimat akhbar.

Bagaimanapun, Ryder enggan menyatakan negara mana yang membekalkan bateri peluru berpandu yang menembak jatuh peluru berpandu hipersonik itu.

Sistem pertahanan udara Patriot pernah digunakan oleh AS untuk menangkis peluru berpandu balistik Iran di Iraq dan Arab Saudi, tetapi kali ini buat kali pertama sistem itu menembak jatuh peluru berpandu hipersonik.

“AS bersama sekutu dan rakan kongsi kami akan terus meningkatkan keupayaan pertahanan udara untuk membantu Ukraine mengawal ruang udara dan mempertahankan rakyatnya daripada peluru berpandu jelajah dari Russia dan dron dari Iran,” kata Ryder.

Pentadbiran Presiden AS Joe Biden pada awal Selasa menjanjikan bantuan ketenteraan jangka panjang bernilai AS$1.2 bilion kepada Ukraine, termasuk sistem pertahanan udara dan senjata. – Bernama, 10 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen