MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu pihak pendakwaan sudah menyerahkan laporan forensik kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengenai mesej WhatsApp 2017 berhubung dakwaan bayaran RM2 juta.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan pihaknya memberikan laporan itu kepada pasukan peguam Lim pada 18 April lalu, lapor Malaysiakini.
Peguam Haijan Omar yang mewakili Lim juga mengesahkan kepada Hakim Azura Alwi pihaknya sudah menerima laporan yang dikaitkan dengan perbicaraan rasuah terhadap Lim berkait projek terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang, menurut portal itu.
Mahkamah Sesyen pada 5 April lalu membenarkan permohonan Lim untuk mendapatkan laporan forensik perbualan di aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan dalam perbicaraan kes rasuah yang dihadapi bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.
Hakim Azura Alwi ketika membuat keputusan itu berkata terdapat dua keterangan berbeza di dua mahkamah membabitkan baucar pembayaran dan cek yang sama mengenai tujuan penyerahan dan kepada siapa wang RM2 juta diserahkan.
Azura berkata perkara fakta menyeluruh harus dibentang dan dikemukakan kepada mahkamah agar kebenaran dapat diketahui.
Sebelum ini, pasukan pembelaan Lim diketuai Gobind Singh Deo berhujah bahawa pihak pendakwaan menyekat bukti penting yang boleh membersihkan bekas menteri kewangan itu.
Beliau berkata pihak pendakwaan gagal memberikan salinan perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan – G Gnanaraja dan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli – yang didakwa membayar RM2 juta kepada Lim pada 2017.
Bukti tersebut penting bagi membuktikan dakwaan rasuah terhadap Lim adalah tidak berasas, kata Gobind.
Tambah beliau, RM2 juta yang didakwa diberi kepada Lim itu sebenarnya adalah untuk perdana menteri ketika itu Najib Razak.
Lim, 62, menghadapi pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 dan Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta rasuah daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan syarikat sebagai dorongan untuk mendapatkan projek itu, dan dituduh melakukan perbuatan tersebut berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.
Beliau juga menghadapi dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa ada kaitan dengan projek terowong dasar laut. – 10 Mei 2023.
Komen