Polis kenal pasti 2 penyerang London


Khuram Butt dan Rachid Redouane ialah dua daripada tiga penyerang yang melanggar orang awam dengan van di London Bridge sebelum menikam dengan pisau pada Sabtu malam. – Gambar AFP, 6 Jun, 2017.

POLIS Britain mengenal pasti dua daripada tiga penyerang London sebagai Khuram Shazad Butt, 27, dan Rachid Redouane, 30, dari Barking, timur London.

Ketua polis bahagian anti keganasan Mark Rowley berkata nama dan gambar dua suspek yang ditembak mati dalam insiden serangan di London Bridge dan Pasar Borough pada Sabtu lalu disiarkan.

“Polis yakin penyerang berkenaan adalah Khuram Shazad Butt dan Rachid Redouane, dari Barking, timur ibu kota,” katanya.

Dalam kejadian pada Sabtu malam, tiga penyerang ditembak mati oleh pasukan bersenjata dalam masa lapan minit dengan 50 tembakan selepas polis menerima laporan pertama kejadian itu.

Khuram Shazad Butt adalah warga Britain yang dilahirkan di Pakistan, manakala Rachid Redouane, mengaku berasal dari Maghribi dan Libya. Rachid juga dikenali sebagai Rachid Elkhdar dengan tarikh lahir berbeza.

Dalam kejadian serangan itu, tujuh mati sementara ramai lagi cedera parah. Kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab atas serangan van putih melanggar orang ramai sebelum menikam pejalan kaki di London Bridge dan Pasar Borough. – AFP, 6 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen