Kukuhkan sektor pertanian demi keterjaminan makanan


TAHNIAH kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu yang telah mengemudi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MOA) dengan baik. 

Sepanjang tempoh enam bulan ini, banyak usaha yang dilakukan dalam memastikan bekalan makanan seperti ayam dan telur mencukupi bagi keperluan rakyat Malaysia. 

Sudah pasti, ia tidak akan berjaya tanpa satu usaha bersepadu bersama warga MOA dan juga agensi di bawahnya. 

Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Parti Amanah Negara (Biro) yakin dengan kepimpinan Mohamad dan seluruh jentera kementerian yang akan berusaha keras untuk mengukuhkan sektor pertanian negara yang terabai dalam dua tahun lepas dan seterusnya dapat membantu menangani kos sara hidup. 

Oleh itu, Biro ingin mencadangkan 3 harapan utama untuk dicapai oleh MOA dalam tempoh 5 tahun akan datang. 

Pertama, Biro mencadangkan supaya pelaburan berintensiti tinggi untuk dibawa masuk ke dalam sektor pertanian. Kita memerlukan ladang-ladang yang dikendalikan menerusi automasi dan robotik di seluruh negara. 

Untuk itu, kerajaan harus menggalakkan penglibatan syarikat-syarikat AgriTech dan pelabur antarabangsa melalui pelbagai insentif dan memudahkan proses menjalankan perniagaan atau “ease of doing business”. 

Di samping itu, dengan konsep pertanian dalam bangunan dan “vertical farming” kita boleh menghasilkan tanaman di tengah bandar besar seperti Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan tempatan. 

Kedua, Biro mencadangkan agar konsep “Satu Zon Hijau, Satu Daerah” diperkenalkan. Tanah-tanah terbiar di seluruh negara harus dibangunkan dan ditukar kepada tanah pertanian untuk tanaman yang sesuai. 

Dengan kerjasama pihak swasta, konsep ini bukan sahaja boleh memudahkan penduduk tempatan mendapatkan bekalan makanan terutama sayur-sayuran pada harga berpatutan, malah dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat. 

Pada masa yang sama, diharapkan pihak kerajaan dapat meluluskan lesen tanah dengan tempoh yang lebih panjang kepada usahawan agro di seluruh negara. 

Ini akan memberi keyakinan kepada usahawan agro untuk melabur dan mengembangkan operasi mereka.

Ketiga, Biro mencadangkan pihak kementerian memperkenalkan insentif dan bimbingan yang lebih berstruktur untuk menarik minat anak-anak muda ke dalam sektor pertanian. Berdasarkan data sedia ada, hanya 15% ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berumur di bawah 40 tahun. 

Kita memerlukan penglibatan anak muda yang lebih baik, namun mereka tidak akan berkecimpung dalam bidang ini jika gaji yang diterima masih rendah dan tidak ada prospek kerjaya yang lebih baik. 

Oleh sebab itu, sektor pertanian memerlukan perubahan struktur atau “structural reform” berteraskan teknologi pintar yang dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda.

Semoga dalam tempoh lima tahun ini, sektor pertanian dalam negara akan meningkat dengan lebih baik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan keadaan sosioekonomi golongan petani lebih terjaga. 

Keterjaminan makanan menjadi satu jihad baharu buat negara, dan Biro akan menyokong setiap idea dan usaha YB Mohamad Sabu dalam menerajui kementerian yang cukup mencabar ini. 

Sektor pertanian memerlukan satu reformasi yang utuh supaya menjadi satu sektor ekonomi yang lebih produktif dan inovatif. – 10 Mei 2023. 

* Faiz Fadzil, pengerusi Biro Pertanian dan Keterjaminan Makanan Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen