Bekas ketua polis Sumatera Barat dipenjara seumur hidup kerana edar dadah


Bekas ketua polis Wilayah Sumatera Barat Teddy Minahasa Putra semalam disabitkan bersalah mengedar lima kilogram dadah methamphetamine, yang asalnya dirampas sebagai bahan bukti jenayah. – Gambar AFP, 10 Mei 2023.

MAHKAMAH di Jakarta semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas ketua polis Wilayah Sumatera Barat Teddy Minahasa Putra selepas disabitkan bersalah mengedar lima kilogram dadah methamphetamine.

Teddy Minahasa didapati bersalah mengarahkan pegawai bawahannya menukar dadah tersebut, yang asalnya dirampas sebagai bahan bukti jenayah, dengan ‘potassium alum’ untuk dijual secara haram.

Dadah berkenaan diedar melalui perantara orang awam, mahkamah diberitahu.

Peguam bela Teddy Minahasa ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Dalam prosiding semalam, pendakwa raya memohon tertuduh dikenakan hukuman mati, namun selepas mengambil kira perkhidmatan Teddy Minahasa selama 30 tahun dalam pasukan polis hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya. – AFP, 10 Mei 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen