DEWAN Rakyat Jepun semasa sidang pleno pada Selasa meluluskan pindaan undang-undang imigresen yang membenarkan pihak berkuasa menghantar pulang warga asing yang memohon status pelarian untuk beberapa kali, lapor Xinhua.
Semakan undang-undang imigresen itu telah dikritik hebat oleh organisasi yang menyokong pencari suaka.
Entiti itu percaya bahawa sekiranya rang undang-undang itu diluluskan Parlimen dan digubal sebagai undang-undang, ia boleh menyebabkan individu terbabit dihantar pulang ke negara asal di mana mereka bakal berdepan penganiayaan.
Sementara itu, dipercayai bahawa warga asing yang memohon status pelarian beberapa kali kerana mengetahui bahawa sementara status permohonan mereka belum selesai, mereka tidak boleh dihantar pulang dari Jepun.
Pindaan undang-undang itu, akan dibahaskan di dewan Negara, akan menamatkan penahanan lanjutan di kemudahan imigresen untuk pelarian, termasuk warga asing yang tinggal lebih masa dan tidak mematuhi perintah pengusiran.
Jika dipinda, undang-undang itu menyatakan sekiranya mereka gagal dalam proses memohon status pelarian untuk kali ketiga atau lebih, dan tidak berjaya menunjukkan mengapa status mereka sebagai pelarian harus diluluskan akan dihantar pulang oleh kerajaan Jepun.
Undang-undang yang dipinda itu, bagaimanapun akan memberi status separa pelarian kepada individu dari wilayah yang dilanda konflik, membenarkan mereka tinggal di Jepun walaupun mereka tidak layak untuk status pelarian penuh. – Bernama, 10 Mei 2023.
Komen