Tentera Rusia berarak peringati ulang tahun ke-78 kemenangan Soviet


Beribu-ribu askar berarak di Dataran Merah di Moscow, Rusia dalam cuaca cerah sempena ulang tahun ke-78 kemenangan Soviet Union menewaskan Nazi Jerman semalam.

PERARAKAN tentera sempena ulang tahun ke-78 kemenangan Soviet Union menewaskan Nazi Jerman bermula di Moscow pada Selasa, dengan langkah keselamatan terus diperkukuh, lapor Agensi berita Jerman (dpa).

Beribu-ribu askar berarak di Dataran Merah dalam cuaca cerah.

Presiden Rusia Vladimir Putin dalam ucapannya turut menyentuh mengenai operasi ketenteraan yang dilancarkan Rusia ke atas jirannya, lebih setahun lalu.

“Hari ini, tamadun sekali lagi berada di titik perubahan.

“Perang sebenar telah dilancarkan terhadap tanah air kita.

“Tetapi kita telah menangkis keganasan antarabangsa, kita akan melindungi penduduk Donbass dan kita akan memastikan keselamatan negara,” kata Putin kepada ribuan askar di Dataran Merah.

Lebih 10,000 askar berarak mempamerkan kekuatan tentera diiringi 125 aset ketenteraan, menurut maklumat yang disalurkan oleh Rusia.

Walaupun pada awalnya, tiada pemimpin asing dijangka hadir, pemimpin bekas republik Soviet Belarus, Kazakhstan, Tajikistan, Turkmenistan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Armenia dijadual menghadiri upacara terbabit.

Menjelang peristiwa itu, terdapat spekulasi bahawa ia mungkin dibatalkan berikutan apa yang kelihatan seperti serangan dron ke atas Kremlin.

Minggu lalu, dua dron dilaporkan menceroboh kawasan kubah Istana Senat tetapi berjaya dijatuhkan oleh pertahanan udara.

Moscow menyalahkan Kyiv atas dakwaan percubaan serangan ke atas Putin, manakala Ukraine mendakwa keseluruhan insiden itu dirancang oleh Rusia. – Bernama, 10 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen