BEKAS negara Soviet hari ini meraikan ulang tahun ke-78 Hari Kemenangan, hari memperingati kemenangan Kesatuan Soviet (USSR) ke atas Nazi Jerman semasa Perang Dunia II – juga dikenali sebagai Perang Patriotik Besar oleh beberapa negara – pada 1945.
Sempena Hari Kemenangan ini, acara tradisi seperti peletakan kalungan bunga di tugu peringatan tentera dan berdiam diri selama seminit berlangsung di peringkat tempatan.
Perarakan diadakan di Red Square di ibu negara Russia, Moscow, yang dihadiri Presiden Russia Vladimir Putin dan ketua negara bekas republik Soviet yang lain.
Mereka yang hadir termasuk presiden Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Tajikistan dan Belarus serta Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan.
Di Twitter, Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev mengucap tahniah kepada veteran Azerbaijan atas kemenangan terhadap fasisme dalam Perang Dunia II.
Pada hari yang sama, Ukraine menyambut Hari Eropah. Presiden Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan hari itu melalui dekri presiden pada Isnin.
Zelenskyy berkata beliau menandatangani dekri yang berkaitan untuk memperingati “perpaduan semua orang Eropah” yang menang menentang Nazisme.
Beliau juga membentangkan rang undang-undang di parlimen Ukraine, Verkhovna Rada, mencadangkan 8 Mei sebagai “Hari Peringatan dan Kemenangan ke atas Nazisme di Perang Dunia Kedua 1939-1945”. – Bernama, 9 Mei, 2023.
Komen