Mexico gesa AS tangani keganasan senjata api di sempadan


Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador gesa ahli Kongres AS menerima pakai dasar berkesan untuk henti keganasan senjata api di kedua-dua belah sempadan AS-Mexico. – Gambar EPA, 9 Mei, 2023.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador menggesa ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) supaya menerima pakai dasar berkesan untuk menghentikan keganasan senjata api di kedua-dua belah sempadan AS-Mexico, lapor Xinhua.

Bercakap pada sidang akhbar hariannya, Lopez Obrador menyeru khususnya Gabenor Texas Greg Abbott dan Gabenor Florida Ron DeSantis agar meneruskan kawalan senjata api dan memperlahankan penyeludupan senjata api rentas sempadan.

“Ia adalah satu inisiatif yang baik untuk mencegah pembunuhan malang ini - insiden tembak ini kerap kali berlaku di Amerika Syarikat,” kata Obrador.

Terdapat ahli politik di AS “tidak berkata apa-apa” mengenai penjualan senjata api kerana mereka menerima wang daripada pengeluar senjata untuk membiayai kempen pemilihan semula mereka, katanya.

Kerajaan Mexico sebelum ini memfailkan saman di AS terhadap pengeluar dan pengedar senjata api dengan menuduh mereka melakukan amalan perniagaan cuai yang memburukkkan keganasan senjata api di Mexico.

Pihak berkuasa Mexico menganggarkan sekurang-kurangnya setengah juta senjata api dibawa masuk secara haram dari AS kepada kumpulan penjenayah di negara itu setiap tahun.

Obrador berkata beliau akan mengadakan perbualan telefon dengan Presiden AS Joe Biden pada  Selasa untuk menangani isu dua hala. – Bernama, 9 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen