KANADA pada Selasa mengisytiharkan perintah “persona non grata” terhadap seorang pegawai konsulat China di Toronto susulan dakwaan campur tangan asing, lapor agensi berita Jerman, DPA.
“Kanada memutuskan untuk mengisytiharkan persona non grata ke atas Zhao Wei,” kata Menteri Luar Melanie Joly dalam satu kenyataan.
“Jelas, kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman kami. Diplomat di Kanada diberi amaran jika mereka terbabit dalam tingkah laku ini, mereka akan dihantar pulang,” kata Joly sambil menambah semua faktor dipertimbang dengan teliti sebelum keputusan dibuat.
Penyiar Kanada CBC memetik sumber kerajaan sebagai berkata, Zhao mempunyai lima hari untuk meninggalkan negara itu.
Minggu lalu, akhbar The Globe and Mail memetik dokumen rahsia besar dari 2021 kerajaan China menyasarkan ahli Parlimen Kanada Michael Chong dan keluarganya di Hong Kong selepas beliau membawa usul di Parlimen yang mengutuk tindakan Beijing di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Menurut laporan itu, Zhao terbabit yang mencetuskan desakan Chong supaya dia (Zhao) dipecat.
Sementara itu, kedutaan China dalam satu kenyataan berkata pengusiran itu melanggar undang-undang antarabangsa, norma asas yang mengawal hubungan antarabangsa dan perjanjian dua hala yang berkaitan selain mensabotaj hubungan China-Kanada.
“Pihak China mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya dan membuat bantahan keras kepada Kanada. China akan mengambil tindakan balas yang tegas dan akibat yang timbul daripadanya akan ditanggung oleh Kanada,” menurut kenyataan itu.
Jurucakap itu menafikan campur tangan Beijing dalam hal ehwal dalaman negara lain dan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan merupakan kempen fitnah. – Bernama, 9 Mei, 2023.
Komen