Pahang rekod lebih RM21 bilion pelaburan asing


Genting Highlands antara pusat pelancongan menarik yang menjadi tumpuan ramai di Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2023.

PAHANG merekodkan jumlah pelaburan asing lebih RM21 bilion dalam tempoh dua tahun bermula 2021, kata pengerusi jawatankuasa pelaburan, perindustrian, sains, teknologi dan inovasi negeri Mohamad Nizar Najib.

Beliau berkata bidang perkhidmatan serta pembuatan antara sektor yang terbabit pada 2021 dengan pelaburan tertumpu di Bentong dan Gebeng, manakala sektor pembuatan, perkhidmatan, penternakan termasuk pelancongan antara tumpuan utama di Pekan, Kuantan dan Rompin.

Bagi menarik lebih ramai pelabur antarabangsa ke Pahang, beliau berkata kerajaan negeri membuka peluang perbincangan dengan kedutaan asing selain membabitkan agensi kerajaan negeri serta persekutan iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Selain itu, perbincangan bersama pelabur berpotensi juga giat dijalankan bagi meyakinkan mereka untuk memilih Pahang sebagai destinasi utama pelaburan.

“Misi pelaburan ke negara yang dikenal pasti juga diadakan bagi meluaskan peluang pelaburan sedia ada, antara kerjasama dari luar negara yang berjaya dicapai berdasarkan inisiatif itu adalah New Zealand, Uzbekistan dan China,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Kuantan hari ini.

Mohamad Nizar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Andansura Rabu (PN-Beserah) yang ingin tahu jumlah pelaburan asing, agihan pelaburan dan sektor terbabit serta inisiatif kerajaan negeri dalam menarik pelaburan baharu ke Pahang.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) juga mewujudkan laman web Invest Pahang dengan memperkenalkan “Location Centric Approach” sebagai usaha mempromosikan peluang pelaburan di Pahang.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa kerja raya, pengangkutan dan kesihatan Pahang, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff semasa menjawab soalan Hasan Omar (PN-Lanchang) memaklumkan kerajaan negeri mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM414.29 juta untuk membaiki jalan Persekutuan dan RM200.40 juta bagi jalan negeri. – Bernama, 9 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen