KERAJAAN sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di Malaysia serta proses perbincangan dan libat urus mengenainya sudah bermula dengan pelbagai sektor, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Katanya, ia sebahagian daripada dasar yang sedang dikaji Kementerian Ekonomi dan ia selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-12 supaya nisbah hasil ekonomi yang diberi kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat daripada paras semasa iaitu sekitar 36% kepada 40%.
“Kami akan bawa perbincangan ini dalam forum kerajaan yang sewajarnya dalam masa yang ditetapkan nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian UK-Malaysia Clean Growth Handbook di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, kerajaan ingin memastikan kerangka dasar itu lebih mampan dan dapat dilaksanakan secara positif oleh semua pihak serta manfaatnya bukan hanya kepada pekerja tetapi juga kepada majikan. – Bernama, 9 Mei, 2023.
Komen