Siap sedia hadapi cuaca panas hingga Ogos, kata menteri


Utara Semenanjung dikenal pasti sebagai kawasan terkesan cuaca panas termasuk isu masalah bekalan air, pembakaran di tanah terbuka dan kebakaran tanah gambut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2023.

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca panas dan kering yang dijangka melanda negara sehingga Ogos ini.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya sedang memantau rapi di kawasan yang terkesan akibat cuaca berkenaan terutamanya di negeri di bahagian utara Semenanjung membabitkan isu seperti masalah bekalan air, pembakaran di tanah terbuka dan kebakaran tanah gambut.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaku badan pengawalseliaan kebangsaan untuk industri air dan pembentungan, mengadakan perbincangan dengan operator air di seluruh negara bagi memastikan bekalan air cukup di setiap negeri.

“Jadi buat masa ini, SPAN sedang pantau untuk pastikan kita dapat uruskannya dengan sebaik mungkin, tetapi memang pelan itu sudah ada dan diketahui operator air sendiri,” katanya kepada media di Klang, Selangor hari ini.

“Di kawasan utara terutamanya mengalami cuaca kering, tapi kalau ikut ramalan akan sampai ke seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Tapi kita tengok dalam beberapa minggu ini di Lembah Klang, hujan masih turun, namun kita akan terus pantau dan lihat pada ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai kegiatan orang awam mengambil air dari dalam tanah, beliau berkata perkara itu harus dipantau memandangkan sumber air itu mungkin mengandungi bahan logam tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan.

Nik Nazmi berkata, kerajaan kini sedang mengorak langkah memperluas kempen tiada beg plastik yang kini dilaksanakan di semua premis tetap kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.

Beliau berkata kempen itu yang dilaksana di bawah tanggungjawab kerajaan negeri merupakan satu daripada pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

Antara negeri yang sudah menjalankan kempen berkenaan adalah Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan. – Bernama, 9 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen