Indonesia tingkatkan keselamatan sempena sidang Asean


Indonesia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-42, yang bermula pada 8 Mei hingga 11 Mei ini. – Gambar EPA, 8 Mei, 2023.

INDONESIA mengerahkan 12,627 anggota tentera dan polis untuk memastikan tahap keselamatan maksimum ketika Sidang Kemuncak Asean ke-42, yang bermula pada Isnin (8 Mei) dan berlangsung sehingga Khamis (11 Mei).

Gabungan pihak keselamatan turut melibatkan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan, agensi perisikan negara serta agensi siber dan keselamatan negara, kata Panglima Tentera Indonesia Laksamana Yudo Margono.

Beliau berkata dalam satu kenyataan anggota dan peralatan logistik termasuk tujuh kapal perang ditempatkan di pelbagai lokasi strategik untuk melakukan pemeriksaan ketat terutamanya sekitar kawasan penginapan pemimpin dan ketua kerajaan yang akan tiba esok.

Anggota ditugaskan membuat rondaan bermotosikal bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan dan beberapa bahagian terus dikawal polis trafik bagi menghalang pengguna jalan raya daripada menceroboh kawasan larangan, katanya.

Labuan Bajo merupakan pekan kecil berpopulasi 6,973 orang di bandar Manggarai Barat, kepulauan Flores di provinsi Nusa Tenggara Timur.

Sidang Kemuncak itu bermula dengan Mesyuarat Pegawai Kanan Asean (SOM) yang membincangkan sebilangan perkara termasuk keutamaan Indonesia selaku Pengerusi Asean pada 2023, selain siri mesyuarat di peringkat Menteri Luar dan Sidang Kemuncak Asean ke-42.

Malaysia diwakili ketua setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin dalam mesyuarat SOM. Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dijangka tiba di Labuan Bajo pada Selasa (9 Mei) sementara Menteri Luar Zambry Abdul Kadir akan tiba petang ini.

Sebanyak lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota Asean akan menyertai persidangan itu kecuali dari Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang berdepan pilihan raya pada 14 Mei. – Bernama, 8 Mei, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen