Pemimpin Bersatu boleh sokong proklamasi Melayu Dr Mahathir, kata Razali


Alfian Z.M. Tahir

PEMIMPIN Bersatu yang ingin menjadi sebahagian daripada Proklamasi Melayu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad boleh menandatangani dokumen itu atas kapasiti individu, kata Ketua Penerangan parti Razali Idris.

Bercakap kepada pemberita, Razali berkata penandatanganan proklamasi oleh pemimpin Bersatu tidak menunjukkan kaitan Bersatu dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam pilihan raya negeri.

“Kami tidak membincangkan sebarang pakatan pilihan raya atau rundingan kerusi dengan GTA,” katanya kepada pemberita selepas menganjurkan rumah terbuka Bersatu di Wangsa 118 hari ini.

Razali mengakui beliau dan dua lagi pemimpin Bersatu, iaitu timbalan presiden parti Ahmad Faizal Azumu dan ahli majlis tertinggi Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, telah menandatangani dokumen itu.

Beliau berkata Bersatu menyokong penuh sebarang usaha untuk menyatukan orang Melayu, sambil menambah bahawa Proklamasi Melayu adalah usaha yang tidak berpolitik.

“Ini kerana kita tahu oArang Melayu pun nampak berpecah belah dari segi banyak kumpulan masyarakat sivil. Parti politik pun banyak,” katanya lagi.

Pada 19 Mac, Dr Mahathir melancarkan deklarasi 12 perkara yang menyenaraikan cara masyarakat didakwa terjejas dari segi ekonomi, sosial dan politik di negara ini.

Beliau kemudiannya menyeru semua yang menyokong perjuangan Melayu untuk menandatangani proklamasi tersebut.

PAS menjadi parti politik pertama menandatangani proklamasi itu dengan presiden Abdul Hadi Awang bertemu Dr Mahathir buat kali pertama selepas PRU15.

Hadi berkata walaupun beliau mempunyai perbezaan dengan Dr Mahathir, usaha memperkasakan orang Melayu mesti disokong. – 8 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen