Kishida akan jumpa pelobi perniagaan Korea Selatan 


Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Korea Selatan.– Gambar EPA, 8 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida dijadual bertemu dengan ketua persatuan perniagaan utama Korea Selatan pada Isnin dan membincangkan cara untuk mengembangkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, seperti rantaian bekalan global, menurut sumber industri, lapor Yonhap.

Sesi tertutup itu diadakan pada hari kedua lawatan kerja dua hari Kishida ke Korea Selatan, kunjungan simbolik yang menandakan permulaan pemulihan hubungan dua hala yang sekian lama tegang berikutan isu-isu yang bermula semasa era penjajahan Jepun di Semenanjung Korea pada 1910-45. 

Pada Ahad, Kishida dan Presiden Yoon Suk Yeol mengadakan satu sidang kemuncak, yang kedua seumpamanya dalam tempoh kurang dua bulan, di tengah-tengah ketegangan hubungan dua hala selepas Seoul mencadangkan pemberian pampasan kepada mangsa buruh paksa Korea tanpa sumbangan daripada syarikat Jepun yang terlibat.

Semasa mesyuarat pada Isnin, Kishida akan bertemu ketua enam pelobi perniagaan, termasuk Pengerusi Kumpulan SK Chey Tae-won, yang mempengerusikan Dewan Perniagaan dan Industri Korea (KCCI), menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Persatuan lain termasuk: Persekutuan Industri Korea, Persatuan Perdagangan Antarabangsa Korea, Persekutuan PKS Korea, Persekutuan Perusahaan Korea dan Persekutuan Perusahaan Pasaran Tengah Korea.

Peserta dijangka mengesahkan semula komitmen untuk menghidupkan semula pertukaran ekonomi dalam pelbagai sektor selepas penyambungan semula “diplomasi ulang-alik,” atau lawatan bersama kerap, seperti yang dipersetujui antara kedua-dua negara pada sidang kemuncak pertama pada Mac ketika Yoon melawat Jepun.

Selepas sidang kemuncak Ahad, Yoon dan Kishida berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh rantaian bekalan semikonduktor melalui penyelarasan yang lebih rapat antara pengeluar semikonduktor Korea, dan pembuat komponen dan peralatan Jepun. – Bernama, 8 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen