KETUA Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur Abu Samah Mohd Noor dilantik pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Yahaya Othman yang dilantik sebagai Ketua Polis Pahang.
Majlis serah terima tugas jawatan berkenaan disaksikan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Azmi Abu Kassim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini.
Abu Samah akan memangku jawatan itu sehingga Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu iaitu Mohd Shuhaily Mohd Zain melaporkan diri.
Mohd Shuhaily ketika ini merupakan Ketua Polis Pulau Pinang sementara Abu Samah turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah berkuat kuasa 22 Mei.
Abu Samah juga dipertanggungjawabkan untuk memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur sehingga penggantinya diputuskan oleh pihak pengurusan tertinggi PDRM kelak.
Pada majlis itu juga, berlangsung serah terima tugas antara Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu iaitu ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari dengan SAC Beh Eng Lai yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti Polis Kuala Lumpur. – Bernama, 8 Mei, 2023.
Komen