SEMBILAN belas orang terbunuh dan 21 yang lain cedera selepas sebuah bas hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung di tengah Filipina, kata polis hari ini.
Bas itu yang dalam perjalanan menuju ke Manila terbabas di jalan pergunungan Kepulauan Mindoro lewat semalam, kata jurucakap polis Imelda Tolentino.
Pekerja penyelamat mengeluarkan mangsa terbunuh dan cedera daripada bas itu yang jatuh ke dalam gaung hutan tebal, tambahnya.
“Polis sedang menyiasat punca pemandu hilang kawalan- sama ada wujud masalah teknikal atau pemandu tertidur,” kata Tolentino kepada AFP.
Gambar dikeluarkan polis menunjukkan pekerja menuruni tebing gaung untuk sampai ke bas itu yang berada dalam hutan kira-kira 15 meter di bawah jalan utama.
Kemalangan itu berlaku berhampiran bandar Sablayan, kira-kira 195 kilometer selatan Manila.
Kemalangan jalan raya selalu berlaku di Filipina disebabkan oleh kenderaan awam yang tidak diselia rapi serta pemandu kurang terlatih.
Pada 2014, 41 orang termasuk lima warga asing terbunuh selepas sebuah bas jatuh ke dalam gaung di utara negara itu. 31 orang pula terbunuh dalam kemalangan berasingan pada April tahun lepas.
Pihak berkuasa hari ini mengatakan mereka mungkin menggantung pengendali bas yang terlibat dalam tragedi terbaru itu. – AFP, 21 Mac, 2018.
Komen