PUTRAJAYA bertegas tidak akan membenarkan lagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun pembangkang dijangka menjadikan isu itu sebagai senjata untuk menghentam kerajaan menjelang pilihan raya negeri (PRN), kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata beliau tidak gentar biarpun ia akan terus dimainkan semasa kempen PRN yang akan diadakan di enam negeri.
“Saya percaya isu ini akan terus dipermainkan sebagai isu politik termasuk dalam pilihan raya negeri akan datang, namun kita tidak gusar.
“Dalam keputusan dan kebijaksanaan kita ambil yang benar dan tidak harus diheret untuk ambil keputusan yang terpaksa rela hanya untuk memenuhi selera beberapa kerat manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP di Kwasa Damansara di Shah Alam, hari ini.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata pengeluaran caruman KWSP dibenarkan sebelum ini kerana situasi pada ketika itu mendesak akibat penularan Covid-19.
“Masa Covid-19 lain, sebab keadaan mendesak ketika itu, tapi sekarang rakyat dah bebas untuk keluar bekerja.
“Sebab itu saya setuju dengan usul pengurusan KWSP tidak lagi membenarkan pengeluaran kecemasan.
“Sesetengah orang mungkin ada masalah yang mereka sedang hadapi dan pengeluaran KWSP bukan satu-satunya jalan keluar,” jelasnya.
Pengeluaran khas KWSP dibenarkan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob. – 8 Mei 2023.
Komen