MB Johor selar Chow dakwa projek Forest City gagal


MENTERI Besar Johor Onn Hafiz Ghazi membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang mendakwa projek Forest City adalah projek  yang gagal.

Kenyataan Chow itu amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab, katanya dipetik New Straits Times hari ini.

Malah Onn Hafiz menegaskan Forest City bukanlah projek yang gagal, tetapi “mangsa keadaan di luar kawalan sesiapa”.

Jumaat lepas, Chow dilapor media sebagai berkata projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di negeri itu tidak akan gagal seperti Forest City.

Mempertahankan Forest City, Onn Hafiz berkata projek pembangunan itu menghadapi beberapa cabaran, yang kebanyakannya di luar kawalan pemaju.

“Antara cabaran utamanya ialah ekosistem dasar negara yang tidak menguntungkan, dengan dasar sering kali bertukar, terutamanya pada peringkat kerajaan persekutuan.

“Sebagai contoh, Forest City sepatutnya jadi sokongan utama projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Ia ditangguhkan kemudian dibatalkan oleh kerajaan pusat.

“Begitu apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan warga asing tidak dibenarkan membeli hartanah di Forest City, kemudian berubah fikiran kata mereka boleh beli tetapi tidak akan diberi visa,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

Tambahnya lagi, keputusan Putrajaya menangguhkan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) memburukkan lagi keadaan.

“Perubahan dasar ini nampak seperti bertujuan untuk mengagalkan projek Forest City, iaitu pembangunan yang inovatif dan berpandangan jauh, yang secara keseluruhannya akan membawa manfaat besar kepada negara.”

Onn Hafiz selain itu berkata hubungan tegang Amerika Syarikat-China yang berpanjangan dan pandemik Covid-19 pembeli antarabangsa terhadap projek tersebut.

“Semua ini mempengaruhi daya tarikan dan kemajuan Forest City. Mana-mana pembangunan, tidak kiralah di mana, pasti akan terjejas akibat dasar yang sering berubah mengikut kehendak dan kemahuan ahli politik,” jelasnya. – 8 Mei 2023. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen