Keputusan analisis sampel serangan di Salisbury bulan depan


Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam serangan 4 Mac terhadap bekas perisiknya Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia, yang masih dalam keadaan kritikal di bandar Salisbury, Britain. – Gambar fail EPA, 21 Mac, 2018.

KETUA pemantau kimia OPCW mengatakan pada Selasa tempoh dua hingga tiga minggu diperlukan untuk menyelesaikan analisis laboratorium sampel yang diambil daripada kes keracunan bekas perisik Rusia di Britain.

Satu pasukan pakar daripada Pertubuhan Senjata Kimia Terlarang (OPCW) tiba di Britain untuk mengumpul sampel yang didakwa London sebagai agen saraf buatan Rusia, Novichok.

Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam serangan 4 Mac terhadap bekas perisiknya Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia, yang masih dalam keadaan kritikal di bandar Salisbury, Britain.

Ketua OPCW Ahmet Uzumcu berkata sampel akan dihantar ke makmal utama organisasi itu di The Hague dan kemudian ke makmal yang ditetapkan untuk analisis.

Ia akan mengambil masa di antara “dua hingga tiga minggu lagi untuk memuktamadkan analisis,” kata Uzumcu kepada pemberita.

Ditanya sama ada analisis itu dapat menentukan sama ada agen saraf itu adalah Novichok, Uzumcu berkata beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan terlebih dahulu sebelum keputusan saintifik diperoleh.

Ketua OPCW berada di New York bagi memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai penggunaan senjata kimia di Syria, tetapi turut menyentuh mengenai serangan Salisbury semasa pertemuan tertutup itu. – AFP, 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen