Anwar sahkan Lynas diberi tempoh lanjutan 6 bulan


Lynas sebelum ini berulang kali mempertahankan kilangnya selamat dan menegaskan pelaksanaan syarat pelesenan sedemikian akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di Malaysia. – Gambar EPA, 7 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan kerajaan memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.

Beliau berkata lanjutan masa itu bagaimanapun disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau.

“Saya rasa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang akan memberikan penjelasan terperinci tetapi daripada pemahaman kami, lanjutan adalah dengan syarat dan dipatuhi dengan ketat,” katanya ringkas.

Sebuah portal hari ini melaporkan Lynas diberikan lanjutan masa tersebut susulan rayuan yang dikemukakan oleh syarikat itu berhubung empat syarat dikenakan oleh  Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Rayuan itu dilihat sebagai usaha terakhir untuk memastikan pengeluar nadir bumi itu boleh meneruskan operasi di kilang mereka di Gebeng, Kuantan selepas 1 Julai.

Lynas sebelum ini berulang kali mempertahankan kilangnya selamat dan menegaskan pelaksanaan syarat pelesenan sedemikian akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di Malaysia. – Bernama, 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen