Anwar rakam terima kasih sumbangan Dr Mahathir dalam Proton


Anwar ketika hadir pada majlis pelancaran model baharu Proton X90 dan sambutan ulang tahun ke-40 Proton, hari ini. – Gambar Facebook, 7 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad atas sumbangan dan peranannya dalam menjayakan Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton).

Anwar berkata beliau juga bersyukur syarikat kereta nasional itu mampu bertahan walaupun berdepan pelbagai rintangan selepas 40 tahun dalam pasaran automotif.

“Jadi wajar dalam mengenang perjalanan Proton 40 tahun dan di pihak pentadbiran kerajaan perpaduan sekarang kita ucap terima kasih kepada mantan perdana menteri Tun Mahathir yang mempunyai sumbangan dan peranan dalam bidang ini.

“Saya juga mengenang peranan sahabat saya Allahyarham Yahaya Ahmad (bekas pengerusi DRB-HICOM) yang menunjukkan keghairahan, obsesi luar biasa untuk menjayakan Proton,” katanya pada majlis pelancaran model baharu Proton X90 dan sambutan ulang tahun ke-40 Proton, hari ini.

Proton merupakan buah fikiran dan cetusan idea Dr Mahathir dan beliau pernah menjadi pengerusi bagi pengeluar kereta nasional berkenaan.

Anwar juga menyatakan keyakinan bahawa komitmen yang ditunjukkan pengurusan baharu Proton akan melonjakkan lagi semangat dan keupayaan syarikat sekali gus mengangkat kedudukan Proton sebagai industri yang berpotensi di dalam negara dan Asean.

“Janganlah kita berpuas hati dengan apa yang telah kita capai, yang dipelajari dan bersikap positif serta kekal komited untuk meningkatkan keupayaan kita.

“Kita melihat ramai jurutera, juruteknik di Proton dan saya rasa wajar saya mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih bukan sahaja kepada pengurusan kanan tetapi juga kepada semua kakitangan dan pekerja Proton atas sumbangan luar biasa anda kepada negara.

“Kami bangga dengan anda. Kami berterima kasih kepada anda. Proton ialah jenama yang terkenal dan terima kasih kepada anda, Proton kini memberikannya dorongan baharu, imej baharu, gaya baharu dengan Proton X90,” katanya.

Sementara itu, Proton hari ini mengumumkan harga bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) terkini Proton X90 yang ditawarkan dengan empat varian bermula RM123,800.

Pelancaran Proton X90 bukan sahaja menambah model ketiga kepada rangkaian SUV jenama terkemuka di pasaran, tetapi ia juga merupakan tawaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) syarikat berkenaan. – Bernama, 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen