Pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru 27 Mei ini, kata Khaled Nordin


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata setakat ini tiada pindaan tarikh dan lokasi pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru yang ditetapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2023.

PEMILIHAN Umno Bahagian Johor Bahru yang ditangguh sejak 18 Mac lepas akan diteruskan pada 27 Mei ini di Berjaya Waterfront Hotel di Kota Tinggi.

Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Mohamed Khaled Nordin berkata setakat ini tiada pindaan tarikh dan lokasi pemilihan yang ditetapkan. 

“Saya percaya semua menantikan (pemilihan) ini terutamanya ahli dan perwakilan Umno kerana bagi saya sewajarnya kepimpinan Umno Bahagian Johor Bahru ini dapat diputuskan segera,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana 2023 di Dewan Felda Lok Heng Barat di Kota Tinggi hari ini.

Terdahulu Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Abdul Halim Suleiman berkata proses pemilihan akan melibatkan jawatan Pengerusi Tetap, Ketua Bahagian, Timbalan dan Naib Ketua Bahagian.

Bagi jawatan Ketua Bahagian ia menyaksikan pertandingan antara Naib Ketua Pemuda Umno Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno Johor Bahru Yahya Jaafar bagi menggantikan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Shahrir Samad yang memegang jawatan itu selama empat dekad sebelum ini.

Pada 18 Mac lepas proses pemilihan Umno Bahagian itu ditangguh dan digantung selepas terdapat dakwaan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir. – Bernama, 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen