KERAJAAN perpaduan mempunyai beberapa formula yang lebih sesuai dengan situasi semasa untuk pembahagian kerusi yang akan diselesaikan secara dalaman, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata ini asas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU13 sahaja tidak boleh digunakan sebagai asas untuk memuktamadkan pembahagian kerusi itu.
“Kita di peringkat negeri mengadakan perbincangan soal pembahagian kerusi biarpun belum dimuktamadkan kita yakin komposisi pembahagian itu akan mengikut beberapa kesesuaian daripada kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sendiri dan dimenangi parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).
“Kami mengambil keputusan perbincangan harus diadakan antara BN dan PH bukan oleh parti-parti yang ada dalam komponen itu. Malam ini kami akan mengadakan mesyuarat penyelarasan kerajaan perpaduan iaitu 19 parti akan terlibat membincangkan tentang beberapa isu pilihan raya di enam negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Dataran Pintu Gerbang Kampung Baru di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata antara perkara yang akan dibincangkan di mesyuarat itu termasuk kesepakatan mengenai pergerakan jentera dan juga beberapa penyusunan gerak kerja untuk dilaksanakan.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH akan mengadakan mesyuarat penyelarasan kerajaan perpaduan hari ini dan mendengar persiapan parti-parti menghadapi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Bernama, 7 Mei, 2023.
Komen