6 maut, 9 cedera akibat serangan udara Rusia ke Ukraine


Gabenor Kherson Oleksandr Prokudin mendakwa enam orang terbunuh manakala empat lagi cedera akibat serangan yang sama sepanjang hari lalu. – Gambar Facebook, 7 Mei, 2023.

SEKURANG-kurangnya enam orang terbunuh manakala sembilan lagi cedera akibat serangan udara ke atas wilayah Kharkiv dan Kherson, Ukraine awal Ahad, lapor Agensi Anadolu.

“Wilayah Kharkiv, daerah Izium, bandar Balaklia.

“Rusia melancarkan serangan peluru berpandu. Difahamkan lima orang cedera,” dakwa ketua Pejabat Presiden Ukraine Andriy Yermak di Telegram.

Sementara itu Gabenor Kharkiv Oleh Synyehubov berkata semua perkhidmatan kecemasan berada di lokasi serangan.

Synyehubov menambah tiga daripada lima mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Gabenor Kherson Oleksandr Prokudin mendakwa enam orang terbunuh manakala empat lagi cedera akibat serangan yang sama sepanjang hari lalu.

Prokudin mendakwa serangan itu menyasarkan kawasan kediaman dan kawasan berpenduduk di rantau itu manakala 27 orang dipindahkan dari wilayah berkenaan.

Krisis Rusia-Ukraine yang kini berlanjutan selama 14 bulan mengorbankan 8,709 nyawa orang awam dan mencederakan 14,666 orang, menurut angka terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Bernama, 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen