MoF cadang pegawai kanan HRD Corp cuba perdaya kontrak jutaan ringgit


SEORANG pegawai kanan Human Resources Development Copr (HRD Corp) berada dalam pemerhatian Kementerian Kewangan (MoF) kerana cuba meneruskan program tanpa kelulusan sewajarnya, lapor The Vibes.

Menurut laporan portal berita itu, MoF mendapati wujud isu dalam proses perolehan kontrak bernilai antara RM53 juta hingga RM159.47 juta setahun melibatkan pegawai itu yang juga merupakan ahli lembaga pengarah HRD Corp.

The Vibes melaporkan yang MoF dalam sepucuk surat mencadangkan yang pegawai itu cuba memperdaya MoF dengan menyatakan mereka sudah menerima kebenaran lembaga pengarah HRD Corp untuk meneruskan program dikenali sebagai “Skills Passport.”

Surat MoF itu adalah berasaskan minit mesyurat lembaga pengarah HRD Corp pada 6 Oktober 2022, dan kementerian berkata minit mesyuarat merujuk kepada laporan bertajuk “Cadangan untuk meluluskan Skills Passport”, yang didakwa tidak tepat memandangkan kebenaran lembaga pengarah tidak pernah diminta.

“Ia hanyalah kemas kini dan bukannya pembentangan kertas kerja bagi mendapatkan keputusan lembaga pengarah,” kata surat MoF bertarikh 10 April lapor The Vibes.

Skills Passport dipercayai adalah platform untuk pekerja berdaftar dengan HRD Corp untuk mendaftar profil mereka.

Surat MoF juga menyatakan yang sebuah syarikat dikenali sebagai Neomindz Sdn Bhd dipilih untuk melaksanakan program itu.

Bagaimanapun, MoF mendapati yang Neomindz mempunyai kedudukan kewangan yang lemah dengan modal RM300,000, simpanan tunai RM36,355 dan liabiliti semasa sebanyak RM144,400 dan kekurangan pengalaman.

50% kepentingan syarikat juga dipegang seorang warganegara India.

MoF juga menemui masalah dengan perwakilan pegawai kanan itu kepada lembaga pengarah berkaitan projek itu tidak akan mendatangkan implikasi kewangan kepada HRD Corp sedangkan realitinya agensi terpaksa menanggung kos sehinggga RM160 juta setahun.

HRD Corp adalah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan dakwaan korupsi dalam pengambilan pekerja asing. – 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen