Hutan terbakar di Kanada, 25,000 penduduk tinggalkan rumah


Darurat diisytihar di Alberta, Kanada pada Sabtu selepas wilayah itu dilanda 103 kebakaran hutan. – Gambar AFP, 7 Mei 2023.

DARURAT diisytihar di Alberta, Kanada pada Sabtu selepas wilayah itu dilanda 103 kebakaran hutan yang memaksa 25,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing.

Seorang pegawai tinggi kerajaan menyifatkan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ribuan lagi penduduk sudah dimaklumkan supaya bersedia untuk meninggalkan kediaman mereka jika situasi semakin buruk.

Premier Alberta Danielle Smith pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan kecemasan kerajaan berkata  darurat diisytihar bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan penduduk.

Smith berkata Alberta, yang juga antara pengeluar minyak terbesar dunia, mengalami cuaca panas dan kering sehingga menyebabkan beberapa kebakaran hutan yang besar. 

“Keadaan ini mengakibatkan situasi yang belum pernah berlaku di wilayah kita hari ini,” katanya.

Menurut Smith setakat ini kira-kira 122,000 hektar kawasan hutan terbakar dan lebih daripada 20 komuniti telah dipindahkan.

Hampir semua kawasan Alberta - yang dalam persiapan mengadakan pilihan raya - dan kebanyakan wilayah jirannya Saskatchewan serta sebahagian besar Northwest Territories berdepan risiko kebakaran melampau, menurut pemetaan kebakaran kerajaan persekutuan. – AFP, 7 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen