Raja Charles III pemerintah lelaki pertama Britain sejak 1953


Raja Charles III dan Permaisuri Camilla di balkoni Istana Buckingham selepas upacara pertabalan di Westminster Abbey pada Sabtu. – Gambar AFP, 7 Mei 2023.

RAJA Charles III secara rasmi ditabalkan sebagai raja Britain pada Sabtu, pertabalan pemerintah lelaki pertama Britain sejak 70 tahun.

Charles, 74, yang ditabalkan selepas lapan bulan kemangkatan mendiang ibunya Ratu Elizabeth II, merupakan raja Inggeris tertua menaiki takhta.

Pada jam 12:02 tengah hari (waktu Britain), Uskup Agung Canterbury Justin Welby memakaikan mahkota St Edward di kepala Charles sebagai simbol kesucian dan kewibawaan raja Britain.

Raja Charles III dan Permaisuri Camilla melewati para tetamu di Westminster Abbey sebelum kembali ke Istana Buckingham selepas upacara pertabalan pada Sabtu. – Gambar AFP, 7 Mei 2023.

Kemudian ‘God Save the King’ dilaungkan oleh 2,300 tetamu termasuk kerabat diraja dan pemimpin kerajaan dari seluruh dunia di Westminster Abbey.

Ia disusuli dengan tiupan trompet di Westminster Abby dan tabik hormat senapang istiadat di seluruh Britain.

Permaisuri Camilla, 75, turut dinobatkan sebagai ratu dalam upacara ringkas selepas itu.

Selepas upacara pertabalan, Raja Charles III dan Permaisuri Camilla menaiki kereta kuda bersalut emas untuk kembali ke Istana Buckingham dan akhirnya muncul di balkoni sambil melambaikan tangan ke arah puluhan ribu rakyat yang berkumpul di luar istana. – 7 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen