Sarkozy ditahan polis berkaitan dakwaan terima suapan Kadhafi


Bekas Presiden Perancis Nicolas Sarkozy (kiri) dan sekutu rapatnya Brice Hortefeux (kanan) ditahan polis untuk soal siasat berkaitan dakwaan menerima pembiayaan daripada bekas diktator Libya, Mamer Kadhafi pada 2007. – Gambar AFP, 21 Mac, 2018.

BEKAS Presiden Perancis Nicolas Sarkozy ditahan untuk soal siasat semalam berkaitan dakwaan bekas diktator Libya Moamer Kadhafi membiayai kempen pilihan rayanya pada 2007 termasuklah memberikan beg dipenuhi wang tunai, kata sumber siasatan kepada AFP.

Sarkozy, 63, ditahan polis awal pagi semalam dan disoal siasat oleh pegawai khas korupsi, penggubahan wang haram dan pengelakan cukai di pejabat penyiasat di barat Paris di Nanterre. Dia masih dalam tahanan sehingga malam semalam dan menurut undang-undang Perancis boleh ditahan selama 48 jam.

Sumber AFP memberitahu yang Brice Hortefeux, sekutu rapat dan menteri kanan sewaktu pentadbiran Sarkozy juga disoal siasat semalam.

Kes ini adalah skandal pembiayaan politik terbesar di Perancis dan satu daripada beberapa siasatan yang menyelubungi bekas presiden yang berundur pada 2012 itu.

Sejak 2013, majistret penyiasat melakukan siasatan ke atas laporan media dan kenyataan anak lelaki Kadhafi, Seif al- Islam yang mendakwa diktator itu memberikan dana untuk kempen pilihan raya Sarkozy.

“Pertamanya, Sarkozy perlu memulangkan balik wang yang dia ambik dari Libya untuk kempen pilihan rayanya,” kata Seif dalam satu wawancara dengan Euronews pada 2011 ketika tentera disokong Nato menyingkirkan ayahnya daripada kuasa.

Sarkozy menafikan dakwaan itu, menyifatkannya repekan seorang ahli keluarga rejim Libya yang marah tentera Perancis masuk campur di Libya sehingga menamatkan pentadbiran 41 tahun Kadhafi dan menyebabkan diktator itu terbunuh.

Dia juga menyaman Mediapart, yang menerajui liputan media tentang dakwaan itu sejak 2012 dengan menerbitkan dokuman yang ditandatangani ketua perisikan Libya menunjukkan Kadhafi bersetuju membiayai Sarkozy sehingga 50 juta euro (AS$62 juta).

Kes itu kembali menjadi tumpuan pada November 2016 apabila seorang ahli perniagaan berketurunan Perancis- Lebanon mengakui menghantar tiga beg berisi wang tunai daripada pemimpin Libya itu pada 2006 dan 2007 sebagai sumbangan kempen presiden Sarkozy.

Penahanan semalam bukan kali pertama untuk Sarkozy, dia menjadi presiden Perancis pertama ditahan polis pada Julai 2014 atas dakwaan cuba mempengaruhi siasatan kes berlainan melibatkannya. – AFP, 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen