Umno boleh menang banyak kerusi di Selangor, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Penganalisis politik berkata Umno boleh mengekalkan lima kerusinya di Selangor jika diberi peluang bertanding di banyak kawasan majoriti lebih 70% pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2023.

UMNO boleh mengekalkan lima kerusinya di Selangor dan menambah beberapa kerusi lagi sekiranya diberi peluang bertanding di banyak kawasan majoriti lebih 70% pengundi Melayu, kata penganalisis politik.

Daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor, 21 kerusi mempunyai lebih 70% pengundi Melayu termasuk lima yang kini disandang Umno.

Umno minggu lalu dilapor, dalam rundingan agihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH), meminta diberi peluang bertanding satu kerusi di setiap 22 kawasan Parlimen.

Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata Umno wajar menumpukan perhatian di kawasan majoriti Melayu sementara PH bertanding di kawasan pengundi campuran.

“Kawasan campuran kawasan tradisi PH. Umno wajar dapat beberapa kerusi yang dahulunya ditandingi Bersatu.

“Umno sesuai bertanding di kawasan majoriti Melayu, seperti di kawasan yang pengundi Melayu lebih 70%,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kebanyakan daripada 21 kerusi majoriti 70% Melayu di Selangor kini disandang PH melalui PKR, antaranya Sungai Kandis, Kota Anggerik, Paya Jaras, Sementa, Batu Tiga, Sabak dan Sungai Ramal.

Empat kerusi disandang Amanah iaitu Taman Templer, Hulu Kelang, Sungai Ramal, dan Morib juga kawasan majoriti besar pengundi Melayu, begitu juga Gombak Setia, Dengkil, dan Selat Klang yang disandang oleh Perikatan Nasional (PN).

Lima kerusi Umno sekarang ialah Sungai Air Tawar, Sungai Burong, Sungai Panjang, Hulu Bernam, dan Semenyih.

Berdasarkan komposisi semasa, PH menguasai 41 daripada 56 kerusi di DUN Selangor manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai lima kerusi. PN menyandang tujuh kerusi (Bersatu 6, PAS 1) dan baki tiga disandang oleh Pejuang.

Pejuang, yang dibentuk serpihan daripada Bersatu, menyandang dua kerusi iaitu Jeram dan Kuang.

Satu lagi kerusi yang sebelum ini juga disandangnya, Batang Kali, diisytiharkan kosong selepas wakilnya Harumaini Omar tidak menghadiri sidang DUN tanpa kebenaran lebih enam bulan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN berjaya menang enam kerusi Parlimen di Selangor iaitu Sungai Besar, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Hulu Selangor, Kuala Langat, dan Kapar.

Bawah kawasan Parlimen tersebut terdapat 15 kawasan DUN.

Minggu lalu, Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari dilapor berkata rundingan kerusi dengan BN sudah muktamad untuk dibawa ke peringkat pimpinan pusat kedua-dua gabungan.

Amirudin juga dipetik memberitahu ada pertindihan melibatkan 20% daripada 56 kerusi, atau lebih kurang 11 kerusi, antara PH dan BN, namun yakin ia akan dapat diselesaikan dalam rundingan pimpinan di peringkat pusat.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, yang juga timbalan presiden Umno, bagaimanapun berkata BN dan PH hanya belum memuktamadkan sebarang agihan kerusi malah di semua enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.

Rundingan itu, katanya, akan diselesaikan selepas pembubaran dewan undangan negeri.

Minggu lalu, Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari dilapor berkata rundingan kerusi dengan BN sudah muktamad untuk dibawa ke peringkat pimpinan pusat kedua-dua gabungan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2023.

Kerjasama PH-BN

Mazlan juga berpendapat kecenderungan pengundi pada masa ini tidak lagi sama seperti semasa PRU15.

“Sudah ada perubahan politik yang berlaku. Saya tak melihat gelombang hijau menjadi faktor yang kuat pada PRN akan datang,” katanya, merujuk kebangkitan PAS pada PRU15.

“Umno adakan kerjasama dengan PH sudah pasti undi bukan Melayu akan pergi kepada Umno,” tambahnya.

Mazlan juga percaya Umno akan kembali bangkit di kawasan Parlimen yang ia terlepas kepada PN pada PRU15, melalui kerjasama bersama PH.

“Umno boleh kembali bangkit dengan pertolongan PH, undi muda yang sebelum ini kepada PN akan pergi kepada Umno,” katanya.

Umno katanya boleh diberi kerusi untuk bertanding di kawasan yang sebelum ini dimenangi oleh PAS dan Bersatu.

“Kalau dalam konteks pembahagian kerusi, kalau semua parti mahu bekerjasama, perlu dipertimbangkan sebab Umno ada lima kerusi di Selangor, kecil sangat, Umno parti yang besar dan boleh beri kerjasama di negeri-negeri lain yang kuat Umno contohnya Negeri Sembilan.

“Kerusi Bersatu tanding dulu molek, Umno boleh tarik pengundi Melayu, ada komponen PH tak dapat tarik undi Melayu sebab kawasan itu kawasan Melayu tradisional.

“Jadi kerusi itu dulunya yang diberi kepada Bersatu boleh diberi kepada Umno, ciri-ciri Umno dan Bersatu lebih kurang, kenapa dulu bagi kepada Bersatu, kerana keperluan waktu itu dan tempat itu sesuai dengan karakter Umno.

“Kalau nak menang PRN itulah dia kena bahagi bahagi kerusi. Dah namanya berkawan, tapi kerusi yang masih dalam proses perundingan, bukan ambil kerusi parti lain,” tambahnya.

Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin berkata, antara kriteria asas dalam perundingan antara BN dan PH adalah kerusi yang tiada pertindihan antara kedua-dua parti.

“Ini antara kriteria kerusi yang di bawa ke meja rundingan, kerusi PH dah menang kita tak kacau jadi tidak menjadi pertikaian.

“Lima kerusi yang kita sandang, kerusi PH menang kita tidak kacau, dan kerusi yang diberikan kepada Bersatu pada PRU14, selain kawasan yang PH dan BN kalah, tetapi BN menduduki tangga kedua dalam pilihan raya sebelum ini, kerusi itu menjadi kerusi tumpuan dalam rundingan.

“Tapi ada beberapa lagi kriteria dan elemen dibincangkan dengan keputusan akhir terletak kepada pucuk pimpinan negeri dan nasional,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin berkata, antara kriteria asas dalam perundingan antara BN dan PH adalah kerusi yang tiada pertindihan antara kedua-dua parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu berkata, kesemua kriteria itu juga akan membolehkan komponen BN daripada MCA dan MIC turut mendapat kerusi untuk ditandingi pada PRN akan datang.

“Tidak wajar untuk Umno dan BN hanya bertanding lima kerusi, harus ada kerusi lain agar dilihat kerjasama ini kerjasama yang menyeluruh. 

“Dan tidak mungkinlah juga Umno nak bertanding semua kerusi 36 majoriti Melayu, pada saya berapa juga bilangan yang diputuskan itu haruslah bilangan yang wajar dan perlu dijayakan bersama di peringkat BN dan PH,” katanya. 

Ketua Pemuda Umno Sungai Besar itu mengakui keputusan PRU15 yang menyaksikan BN hilang semua kerusi Parlimen mereka di Selangor menjadi cabaran terbesar pada PRN nanti.

Beliau bagaimanapun mengharapkan kerjasama sebagai rakan kongsi kerajaan perpaduan mampu memulihkan kembali sokongan untuk parti tersebut bangkit.

“Dalam kerajaan perpaduan kita kaji semua sudut termasuk kebolehmenangan kerusi tersebut, kalau PH tanding ada potensi menang, kerusi diberi kepada Umno, kerusi Umno bertanding dengan sokongan PH itu adalah kerusi yang menang.

“Ini jadi cabaran tetapi dengan ada kesefahaman, kerjasama baik, semangat perpaduan antara jentera dan penyokong BN dan PH, kelima-lima kerusi ini kita ada peluang besar untuk pertahankan,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) pula berpandangan, ujian terbesar adalah kerjasama jentera BN dan PH di peringkat akar umbi, pada PRN kali ini.

“Tiada sabotaj, protes, dan merajuk, akan memastikan kemenangan mereka, kerjasama erat antara Umno dan PH, peluang kemenangan mereka lebih besar,” katanya.

Justeru katanya antara kaedah yang boleh digunakan adalah Umno diberikan kerusi yang dimenangi Bersatu dan PAS pada PRU14 sebelum ini.

Kedua-dua BN dan PH juga katanya harus memastikan kawasan dikuasai PN tidak berlaku perpecahan undi.

“Mereka perlu pastikan undi tidak pecah di kawasan PN, formula ini boleh digunakan selain faktor calon yang boleh menang,” tambahnya. – 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen