2 rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel


Keluarga pejuang yang terbunuh menangis saat mengetahui berita kematian mereka. – Gambar AFP, 6 Mei, 2023.

TENTERA Israel menembak mati dua rakyat Palestin di Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin dengan tentera mendakwa mensasarkan pelaku ‘insiden tembakan’.

“Jasad dua pejuang ditembak tentera Israel tiba di hospital Thabet di bandar Tulkarm,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Tentera Israel mendakwa kedua-dua lelaki berkenaan terbabit dalam serangan tembakan di Avnei Heftz pada 2 Mei lalu yang mengakibatkan seorang warga Israel cedera.

“Dua lelaki bersenjata ditembak dan dibunuh selepas cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Kami turut merampas dua raifal M16, jaket askar dan kelopak peluru,” kata tentera Israel yang turut memaklumkan dua lagi ditahan dalam operasi itu.

Avnei Heftz merupakan kawasan penempatan di Tebing Barat yang dipertikaikan Israel meski ia diisytiharkan haram mengikut undang-undang antarabangsa.

Briged Tulkarm, kumpulan pejuang tempatan dikaitkan dengan Briged Syahid Al-Aqsa, sayap bersenjata parti Fatah yang memerintah mendakwa kedua-dua lelaki itu sebagai ahli dan menamakan mereka sebagai Hamza Khrewish serta Samer al-Shafei.

Keganasan terbaru itu sekali gus menjadikan jumlah warga Palestin yang setakat ini terkorban dalam konflik Israel-Palestin meningkat kepada 108 orang tahun ini. – AFP, 6 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen