SENAT Amerika Syarikat semalam menolak usaha gabungan ahli politik untuk menghentikan penglibatan Amerika dalam perang saudara Yaman.
Pengundian yang dilakukan semalam bermatlamat untuk menghentikan di Yaman dalam tempoh sebulan kecuali Kongres secara rasmi membenarkan penglibatan itu diteruskan.
55 senator menentang berbanding hanya 44 menyokong selepas kepimpinan Republikan di Senat dan pemimpin utama kedua-dua parti dalam Jawatankuasa Hubungan Luar Senat menyuarakan penentangan secara terbuka.
Tetapi pengundian itu mendedahkan penglibatan AS dalam konflik di negara Timur Tengah paling miskin itu yang sudah berlarutan selama tiga tahun.
PBB menyifatkan krisis itu sebagai bencana kemanusiaan terburuk sedang berlaku sekarang.
AS menawarkan senjata api, maklumat risikan serta bantuan teknologi kepada tentera diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman untuk memerangi pemberontak disokong Iran.
Beberapa wakil rakyat AS sudah lama menyuarakan kebimbangan tentang konflik itu yang jumlah kematian orang awam disebabkan serangan udara tentera kerajaan dan sekutunya mencetuskan kecaman kumpulan hak asasi.
Resolusi itu yang ditaja oleh wakil rakyat bebas, Senator Bernie Sanders dan 14 yang lain memaksa pengundian pertama kali dilakukan di Senat untuk menarik pasukan tentera AS daripada perang yang dianggap “tidak dibenarkan” itu.
“Jika Kongres mahu berperang di Yaman atau tempat lain, undi untuk berperang,” kata Sanders semalam.
“Ini adalah tanggungjawab berpelembagaan anda. Berhenti meletakkan tanggungjawab itu kepada presiden.”
Penyokong tindakan Senat itu berhujah yang Yaman adalah kawasan terbaru Pentagon dibenarkan menggunakan kuasa tentera (AUMF) yang diluluskan Kongress pada 14 September 2001, tiga hari selepas serangan ke atas New York dan Washington oleh Al-Qaeda.
Sejak itu, Presiden George W. Bush, Barack Obama dan kini Donald Trump bergantung kepada arahan autoriti itu bersama-sama AUMF dikeluarkan pada 2002 sebagai asas melancarkan operasi ketenteraan ke atas kumpulan pengganas Islam.
Walaupun proses pengundian itu gagal, ia mewujudkan perbincangan mengenai AUMF dalam Kongres.
Setiausaha Pertahanan AS Jim Mattis minggu lepas meminta Kongres tidak masuk campur dalam peranan perang Amerika, memberi amaran yang sekatan boleh menyebabkan kematian lebih ramai orang awam, menjejaskan kerjasama pencegahan keganasan dan “mengurangkan pengaruh kita dengan Arab Saudi.”
Lebih 9,200 orang sudah terbunuh dan puluhan ribu lagi cedera dalam konflik di Yaman. – AFP, 21 Mac, 2018.
Komen