Perak teliti latar belakang pemaju, elak kediaman terbengkalai, kata MB


Menteri Besar Saarani Mohamad berkata satu pasukan petugas khas akan diwujudkan oleh KPKT bagi mengelakkan masalah projek kediaman terbengkalai berulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2023.

KERAJAAN negeri akan memantau dan meneliti latar belakang pemilik syarikat pemaju sebelum meluluskan sebarang projek pembinaan bagi mengelak kediaman terbengkalai di Perak.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata ia demi memastikan hak pembeli terjamin selain menutup ruang syarikat pemaju mengaut keuntungan sewenang-wenangnya dengan melanggar perundangan. 

Beliau berkata bagi mengelak masalah itu berulang satu pasukan petugas khas juga akan diwujudkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya yakin kaedah itu bukan hanya melihat kepada nama syarikat (pemaju) kerana punca utama kegagalan (projek) adalah disebabkan oleh pemilik syarikat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jualan Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Meru Perdana 2 di Ipoh hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad (MK Land) Faris Yahaya berkata nilai pembangunan kasar bagi tiga projek utama syarikat itu di Meru Perdana, Meru Perdana 2 dan Klebang Putra berjumlah sekitar RM1 bilion.

Beliau berkata pembangunan di ketiga-tiga kawasan itu melibatkan projek unit kediaman serta lot komersial.

Mengenai projek perumahan Carnelian 2 katanya selain unit kediaman ia bakal dilengkapi kemudahan seperti rumah kelab, dewan serba guna, kolam renang, sekolah, masjid, kawasan rekreasi serta pusat komersial.

“Kami percaya dengan ciri-ciri menarik ini, projek Carnelian 2 akan menarik minat pembeli sepertimana projek-projek pembangunan perumahan MK Land sebelum ini,” katanya.

Projek Carnelian 2 yang melibatkan pembinaan 90 unit kediaman teres satu tingkat dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijangka siap menjelang April 2025. – Bernama, 6 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen