Lim Kit Siang bukan demokrat


“VETERAN DAP Lim Kit Siang menggesa Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ‘mengisytiharkan’ mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada sebarang rancangan untuk menjatuhkan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Demikian laporan berita mengenai kenyataan Kit Siang selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman memuat naik angka ‘126’ di akaun Facebook-nya beberapa hari lalu.

Hal ini dihangatkan lagi apabila muncul poster dan tangkap layar berkaitan calon Perdana Menteri dan gerakan untuk menukar kerajaan PH.

Bagi saya, perkara ini hanya ‘lelucon’ politik, namun bagi Kit Siang ia seperti suatu perkara yang amat serius hingga dia membuat kenyataan yang gopoh.

Tidak masuk akal permintaan Kit Siang agar pemimpin pembangkang mengisytihar untuk menolak usaha menukar kerajaan.

Menukar kerajaan adalah amalan demokrasi, ia bukan satu jenayah apatah lagi tindakan tidak bermoral. Jika Kit Siang seorang demokrat yang tulen, dia pasti faham ranah politik ini.

Mereka yang pernah berniat menukar kerajaan sebelum ini, akan merasa bimbang kerajaannya tumbang. Orang ini akan menjadi ‘paranoid’ dengan perkembangan sekeliling.

Mereka yang sudah biasa membuat demonstrasi jalanan akan mencari pelbagai alasan untuk tidak membenarkan lawannya berbuat yang sama untuk memprotesnya.

Buktinya, Anwar Ibrahim begitu menggelabah apabila acara Proklamasi Orang Melayu hendak dilancarkan hingga meracau dalam ucapan ceramahnya.

Jika Kit Siang lupa, mari saya ingatkan. Pada Rabu 23 September 2020, dalam sidang medianya Anwar mengumumkan beliau sudah mempunyai sokongan majoriti untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengapa ketika itu, Kit Siang berdiam diri dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar itu? Mengapa Kit Siang tidak mengecam tindakan Anwar ketika itu? Bukankah tindakan itu untuk menggugat kestabilan kerajaan ketika menghadapi pandemik? 

Mengapa kali ini, apabila ada ura-ura pihak mahu menukar kerajaan Anwar, Kit Siang melenting?

Sikap Kit Siang yang hipokrit ini makin terserlah bilamana beliau berdiam diri apabila Umno memutuskan untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar mengampunkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah oleh 13 hakim di semua peringkat perbicaraan dan rayuan.

Kit Siang yang lantang ini, rupanya menikus dan berdiam diri dalam isu ini. Adakah beliau bersetuju dengan usaha Umno itu?

Atau Kit Siang takut dimarahi Umno dan Zahid Hamidi sepertimana Khalid Samad dan Amanah diherdik Umno hingga memohon ampun dan maaf?

Kit Siang juga senyap sunyi apabila wakil kerajaan iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying gagal menjawab soalan di Parlimen pada 27 Mac lalu?

Sebelum ini, Kit Siang cukup tegas dan suka menegur jika ada wakil kerajaan Umno/BN tidak hadir sidang dewan atau gagal menjawab soalan dewan. Pasti sidang media akan diadakan mengecam situasi itu.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman, Kit Siang harus konsisten dan berjiwa besar menghadapi dinamika politik.

Jangan ada sikap ‘double standard’ – kami boleh, kamu tidak. Sikap Kit Siang ini menunjukkan beliau bukan seorang demokrat tulen. – 6 Mei, 2023.


* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen