FTA antara New Zealand-UK dikuat kuasa akhir Mei


Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins berkata perjanjian FTA ini mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara.– Gambar AFP, 6 Mei, 2023.

PERJANJIAN Perdagangan Bebas (FTA) antara New Zealand dan Britain akan dikuat kuasa menjelang akhir bulan ini, memberi akses kepada pasaran Britain yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins pada Jumaat .

Kedua-dua pihak bersetuju terhadap pelaksanaan FTA bermula 31 Mei 2023, yang akan menghapuskan semua duti kastam ke atas semua produk dan memanfaatkan eksport wain, makanan laut, madu, tenusu, daging merah dan lain-lain, lapor Xinhua.

“FTA ini mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara. Hasil capaian pasaran adalah antara yang terbaik yang New Zealand perolehi dalam mana-mana perjanjian perdagangan,” kata Hipkins, kata Hipkins semasa lawatannya ke Britain.

Perjanjian perdagangan baharu itu menandakan “lembaran baharu dalam persahabatan di antara kedua-dua negara kita,” kata Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak.

“Perjanjian ini akan membuka peluang baharu untuk perniagaan dan pelabur di seluruh New Zealand dan UK, memacu pertumbuhan, meningkatkan peluang pekerjaan, dan yang paling penting membina masa depan yang lebih makmur untuk generasi akan datang,” kata Sunak.

Pengeksport New Zealand mampu menjimatkan kira-kira 37 juta dolar NZ (AS$23.31 juta) setahun selepas penghapusan tariff.

Britain ialah rakan dagangan ketujuh terbesar New Zealand dan pasaran penting bagi beberapa eksport utamanya, katanya.

Perjanjian itu dijangka meningkatkan keluaran dalam negara kasar sehingga 1 bilion dolar NZ (AS$630 juta) dan meningkatkan eksport barangan New Zealand ke Britain lebih 50%, kata Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O’Connor. – Bernama, 6 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen