SEORANG suri rumah berusia 62 tahun di Sarawak percaya beliau tentu sudah mati akibat kanser payudara jika bukan kerana sekeping pasport Indonesia.
Pasport itu membolehkan Mebpung Akup dari suku Lun Bawang di Long Latok, iaitu kawasan terpencil di Lawas, mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan di Miri.
Meskipun lahir di Sarawak, Mebpung tidak mempunyai MyKad.
Ibu kepada lima orang anak – yang bongsu berusia 30-an – pertama kali memohon kad pengenalan melalui unit bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Long Tuma pada 1981, kemudian pada 2003 dan 2016.
Permohonan Mebpung pada 2003 ditolak atas alasan “sudah tamat tempoh”. Pada 2016 pula permohonannya ditolak kerana gagal menyerahkan bukti beliau lahir di Sarawak.
Mebpung menegaskan beliau memang lahir di Sarawak, dan dalam kalangan tujuh adik beradiknya hanya beliau yang tiada MyKad.
“Suami saya sudah cuba sedaya upaya mendapatkan kad penganalan untuk saya tetapi mereka (JPN) tetap minta saya tunggu,” katanya dalam satu rakaman video kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Balik-balik mereka cakap tunggu, tunggu dan tunggu, itu saja. Belum ada lagi jawapan yang meredakan kerisauan saya.
“Apa saja yang JPN Lawas minta saya dah beri. Pegawai mereka minta salinan MyKad adik-beradik saya, pun saya sudah beri.
“Sijil lahir anak-anak juga saya dah berikan,” tambahnya.
Agnes Padan, aktivis sosial yang membantu Mebpung, berkata apa yang dialami warga emas itu bukanlah sesuatu yang pelik bagi penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman sepanjang sempadan Indonesia.
“Pada tahun 1960-an, masih belum ada jalan dari Long Lutok ke Lawas. Dulu, penduduk terpaksa berjalan kaki seminggu kalau mahu daftar kelahiran dan kematian, atau urusan rasmi lain,” katanya.
Menurut Agnes, bapa Mebpung merupakan seorang anggota peninjau sempadan berketurunan Iban. Bapa Mebpung mungkin tidak berkesempatan untuk mendaftarkan kelahiran anaknya itu di Lawas kerana ketika itu berlaku ketegangan antara Indonesia dan Malaysia. – 6 Mei 2023.
Komen