Bekas ketua perisik Hasanah meninggal dunia


Hasanah Ab Hamid, bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi akibat kanser hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2023.

BEKAS ketua perisik Hasanah Ab Hamid yang didakwa dan kemudian dibebaskan atas pertuduhan penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meninggal dunia. Beliau berumur 66 tahun.

Menurut laporan, Hasanah, bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), meninggal dunia tengah hari tadi akibat kanser hati.

Jenazah Hasanah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kajang.

Sebelum ini, Hasanah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), yang bermakna beliau dibebaskan daripada pertuduhan tetapi boleh menghadapi perbicaraan bagi pertuduhan yang sama pada masa hadapan sekiranya pihak pendakwaan memutuskan untuk mendakwanya semula atas tuduhan pecah amanah (CBT) melibatkan RM50.4 juta.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan pada 25 Okt 2018 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan sepenuhnya Hasanah daripada pertuduhan membabitkan RM50.4 juta dalam perbicaraan CBT.

Pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan beliau menyalahgunakan dana dimaksudkan untuk kerajaan yang diterimanya atas kapasiti beliau sebagai ketua pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.

Hasanah dikenali pada 2018 apabila suratnya kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS ketika itu, Gina Haspel dibocorkan kepada umum. 

Dalam surat yang dihantar seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, beliau memohon sokongan AS bagi kerajaan Barisan Nasional yang sedang berkuasa.

Surat itu disahkan tulen tetapi Hasanah berhujah memandangkan ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, ia tidak sepatutnya dibocorkan.

Hasanah berkata menjadi rutin bagi pengarah agensi perisikan Malaysia bertukar-tukar pandangan dan mengukuhkan hubungan serta kepercayaan, termasuk dengan CIA. – 5 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen