Pembuat kereta China tampung pasaran Rusia selepas pengunduran jenama Barat


Menurut pakar industri, pasaran Rusia merosot daripada purata 140,000 kenderaan yang dijual sebulan kepada kira-kira 40,000 sebulan selepas perang di Ukraine bermula. – Gambar AFP, 5 Mei 2023.

PEMBUAT kereta China dengan cepat menguasai pasaran kereta Rusia berikutan pengunduran pembuat kenderaan Eropah, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan, lapor agensi berita dpa, memetik perunding automotif Perancis, Inovev.

China mula mengisi kekosongan yang dibuka selepas Moscow menyerang Ukraine pada Februari 2022. Jenama terkenal bertindak keluar apabila kuasa Barat mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia sebagai tindak balas.

Inovev berkata dalam analisis pasaran yang dikeluarkan pada Khamis bahawa pembuat kereta China kini mempunyai 42% bahagian jualan kereta baharu di Rusia.

Menurut pakar industri, pasaran Rusia merosot daripada purata 140,000 kenderaan yang dijual sebulan kepada kira-kira 40,000 sebulan selepas perang di Ukraine bermula.

Pembuat kereta Rusia bertahan dengan baik walaupun mengalami pergolakan ekonomi, kata Inovev. Bagaimanapun, jumlah jualan firma China kini melonjak meyaingi pengeluar kereta terkemuka Rusia, AvtoVAZ.

Menurut Inovev, jenama China menjual 64,432 kereta dan kenderaan komersial ringan pada suku pertama tahun ini, berbanding 24,734 unit pada suku pertama 2022 dan 18,981 pada suku pertama 2021. – Bernama, 5 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen