TPM Thailand dijadual hadir sidang kemuncak Asean ke-42


TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-42 dari 9 hingga 11 Mei di Labuan Bajo, Indonesia.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan Don, sebagai Duta Khas Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-42.

Ia juga merupakan mesyuarat pertama Pemimpin Asean di mana Indonesia menggalas jawatan pengerusi Asean 2023 dan bertemakan “Asean Matters: Epicentrum of Growth.”

“Antara topik utama yang akan diberi tumpuan termasuk pembinaan Komuniti Asean, hubungan luar Asean, serta isu utama di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Don juga akan menghadiri beberapa siri mesyuarat menteri Asean dan ‘Interfaces’ antara pemimpin Asean serta pihak berkepentingan utama, termasuk Perhimpunan Antara Parlimen Asean, Belia Asean, Majlis Penasihat Perniagaan Asean dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti Asean Pasca-2025 Visi, dan Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-15,” katanya.

Prayuth tidak menghadiri sidang kemuncak terbabit ekoran pilihan raya umum yang bakal berlangsung pada 14 Mei.

Prayuth merupakan calon Parti United Thai Nation untuk jawatan perdana menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menetapkan 14 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Media melaporkan Sidang Kemuncak Asean akan membincangkan isu termasuk krisis di Myanmar, keahlian penuh Timor-Leste dalam Asean dan rundingan mengenai Tatakelakuan di Laut China Selatan.

Selain itu, pemerdagangan manusia akan menjadi antara isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu berikutan kebimbangan peningkatan jumlah kes di rantau ini. – Bernama, 5 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen