Dr Mahathir saman Anwar RM150 juta 


Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mendakwanya sebagai rasis dan memperkayakan diri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2023.

DR Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar Ibrahim selepas perdana menteri mendakwanya sebagai rasis dan memperkayakan diri.

Bekas perdana menteri itu mendakwa tuduhan Anwar, yang dibuat atas kapasitinya sebagai perdana menteri, mempunyai kesan yang jauh lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat oleh rakyat biasa.

Dr Mahathir menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.

Pada 7 April, Anwar berkata beliau akan mengemukakan bukti Dr Mahathir memperkayakan dirinya dan keluarganya semasa berkuasa. Ini berlaku selepas Dr Mahathir mengeluarkan surat tuntutan kepadanya pada 27 Mac.

Anwar pada mulanya diberi masa tujuh hari untuk menjawab tetapi peguamnya meminta dilanjutkan sehingga 17 April.

Perdana menteri berkata tadbir urus Dr Mahathir mempunyai kekuatannya, tetapi beliau juga mempunyai banyak kelemahan.

Dr Mahathir dilaporkan menuntut Anwar menarik balik kenyataan fitnah yang disiarkan di media arus perdana dan media sosial.

Dr Mahathir juga menuntut permohonan maaf daripada presiden PKR itu dan mahu Anwar berhenti membuat kenyataan serupa pada masa depan, sambil menambah ini penting kerana ia memberi imej buruk terhadapnya menjelang pilihan raya enam negeri akan datang.

Peguam bekas perdana menteri Rafique Rashid Ali telah memfailkan saman itu pada Rabu, bersama perakuan segera supaya ia didengar dan diselesaikan segera. Pengurusan kes akan diadakan pada 31 Mei.

Dalam kenyataan tuntutan yang dilihat Free Malaysia Today, Dr Mahathir berkata sindiran Anwar bahawa beliau telah memperoleh aset untuk dirinya dan ahli keluarganya bermakna beliau telah menafikan hak orang Melayu.

“Hakikatnya, semua anak plaintif adalah individu berjaya dalam perniagaan tanpa campur tangan plaintif dan/atau salah guna kuasa plaintif sebagai perdana menteri,” menurut kenyataan tuntutan berkenaan.

Dr Mahathir juga menolak rancangan bahawa beliau akan menjatuhkan kerajaan sekarang dengan sekumpulan individu.

“Kenyataan defendan tersebut jelas sekali bersifat fitnah bertujuan meyakinkan masyarakat umum bahawa plaintif mempunyai niat untuk mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya. – 5 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen