Pihak berkuasa AS siasat Goldman Sachs kes Bank Silicon Valley


Pihak berkuasa AS siasat peranan Goldman Sachs untuk Bank Silicon Valley yang dikaitkan dengan kejatuhan bank California. – Gambar EPA, 5 Mei, 2023.

PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat peranan Goldman Sachs (Goldman) untuk Bank Silicon Valley (SVB) yang dikaitkan dengan kejatuhan bank California itu yang didedahkan dalam pemfailan sekuriti semalam.

Goldman bekerjasama dan memberikan maklumat kepada pelbagai badan kerajaan mengenai aktivitinya untuk SVB pada Mac sebelum bank berorientasikan teknologi itu terjejas, menurut pemfailan itu.

Sehubungan itu, Goldman dikritik kerana pelbagai peranannya dengan SVB, yang mana pihak itu menasihatkan bank California dan membeli hutang bermasalah dalam perjanjian yang akhirnya memainkan peranan penting dalam keruntuhan SVB.

SVB dirampas pengawal selia perbankan persekutuan pada 10 Mac berikutan pendeposit bimbang bank tidak dapat membayar balik deposit selepas pihak itu dua hari sebelumnya melaporkan kehilangan AS$1.8 bilion (RM7.99 bilion) daripada penjualan AS$21 bilion (RM93.19 bilion) dalam sekuriti.

Dalam siaran akhbar 8 Mac, SVB berkata pihaknya menyenaraikan Goldman berhubung peningkatan modal yang dirancang.

Pasaran melihat pendedahan kerugian dagangan sebagai tanda terdesak SVB untuk mengumpul wang tunai bagi memenuhi keperluan kecairan kerana ia mengalami kekurangan deposit, yang akhirnya membawa kepada penutupan bank.

Dalam pemfailan semalam, Goldman berkata siasatan kerajaan termasuk apabila SVB menghubungi firma itu untuk membantu dengan cadangan peningkatan modal dan SVB menjual firma itu portfolio sekuriti.

Siasatan kerajaan berikutan permintaan daripada 20 ahli Dewan Demokrat kepada pengawal selia AS menggesa siasatan sama ada Goldman melakukan dua atau lebih transaksi pihak tidak berkaitan dan tidak bersekutu dalam peranan mereka sebagai penasihat untuk SVB. – AFP, 5 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen