Ratusan ribu kanak-kanak Ukraine dipindahkan ke Russia sejak 2015


Bilangan sebenar kanak-kanak yang dibawa dari Ukraine ke Russia masih tidak dapat dipastikan dengan penemuan menunjukkan pemindahan sedemikian sejak 2015. – Gambar AFP, 5 Mei, 2023.

RATUSAN ribu kanak-kanak Ukraine mungkin dipindahkan ke Russia sejak 2015 selepas Moscow menakluki Crimea, kata pakar antarabangsa yang menyiasat asimilasi besar-besaran kanak-kanak bawah umur Ukraine.

Misi dianggotai tiga pakar itu ditubuhkan di bawah Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), berkata pihaknya mendapati berlaku banyak pertindihan pelanggaran hak kanak-kanak yang dipindahkan ke Persekutuan Russia.

“Nampak ada rancangan untuk mengasimilasikan mereka (kanak-kanak) secara besar-besaran,” kata pakar Veronika Bilkova kepada pemberita.

Beliau berkata bilangan sebenar kanak-kanak yang dibawa dari Ukraine ke Russia masih tidak dapat dipastikan dengan penemuan menunjukkan pemindahan sedemikian sejak 2015.

“Anggaran paling rendah yang dapat anggarkan ialah sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak tetapi kedua-dua sumber Russia dan sumber Ukraine menunjukkan angka 10 atau lebih kali ganda lebih tinggi. Jadi kami benar-benar bercakap mengenai fenomena besar-besaran,” katanya.

Russia mengambil langkah undang-undang dan dasar untuk memberikan kewarganegaraan negaranya kepada sebilangan kanak-kanak dan untuk memudahkan penempatan mereka dalam keluarga angkat, menurut laporan 82 muka surat yang dikeluarkan pakar.

Kumpulan pakar itu juga memperincikan apabila di Russia, kanak-kanak itu terdedah kepada kempen maklumat pro-Russia yang selalunya disasarkan untuk pendidikan semula serta terbabit dalam pendidikan ketenteraan.

Laporan mengenai pemindahan kanak-kanak secara paksa adalah yang terbaharu dijalankan di bawah OSCE yang dipanggil Mekanisme Moscow, yang membolehkan pasukan pakar ‘ad hoc’ ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan masalah negara anggota OSCE. – AFP, 5 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen