JAWATANKUASA Parlimen Britain pada Selasa meminta Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg untuk tampil menjelaskan mengenai dakwaan bahawa berjuta-juta data peribadi pengguna dituai untuk tujuan kempen politik.
Pengerusi Jawatankuasa Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan, Damian Collins menulis kepada Zuckerberg meminta supaya beliau menjelaskan mengenai perkara tersebut.
Pemintaan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan yang dilakukan jawatankuasa berkenaan berhubung berita palsu.
Ia dibuat susulan dakwaan bahawa data 50 juta pengguna Facebook dituai oleh sebuah syarikat Britian, Cambrige Analytica, untuk kegunaan kempen Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2016.
“Berikutan pendedahan yang diterbitkan di UK Guardian dan The New York Times sejak beberapa hari lepas, jawatankuasa ini ingin meminta anda untuk hadir memberikan kami bukti secara lisan,” tulis Collins.
“Jawatankuasa ini telah berkali-kali meminta Facebook menjelaskan mengenai bagaimana sesebuah syarikat boleh memerolehi dan menyimpan data pengguna dari laman mereka, dan menjelaskan sama ada data itu diambil tanpa persetujuan mereka.
“Jawapan rasmi anda secara konsisten memperlekehkan risiko ini, dan telah mengelirukan jawatankuasa ini.
“Sudah tiba masanya untuk kami mendengar penjelasan daripada eksekutif kanan Facebook untuk memberikan gambar yang jelas mengenai kegagalan proses yang amat parah ini.” – AFP, 20 Mac, 2018.
Komen