LIMA pegawai Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta susulan siasatan berhubung kes pengambilan pekerja asing, lapor Malaysiakini.
Memetik sumber, laporan itu menyebut lima pegawai telah ditamatkan kontrak manakala seorang lagi ditukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membersihkan kementerian tersebut yang baru-baru ini yang dicemari dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai pejabat menteri, menurut sumber itu.
“Ini termasuk dua pegawai yang baru-baru ini ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” kata sumber dipetik Malaysiakini.
Tambahnya bukan semua pegawai yang ditamatkan kontrak itu berkait siasatan SPRM.
“Ada yang ditamatkan kontrak kerana terkait siasatan SPRM. Sementara ada juga kerana prestasi kerja,” katanya.
Bulan lepas SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar dan menyerbu Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya berkaitan dengan dakwaan rasuah melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.
SPRM juga telah memanggil Sivakumar untuk disoal siasat berhubung dakwaan tersebut.
Beliau kemudian menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk dua yang ditahan SPRM. – 4 Mei 2023.
Komen