LIM Guan Eng memberi amaran kepada pemimpin dan ahli DAP supaya mengelak daripada membuat kenyataan terbuka berkaitan kawasan dan calon untuk Pilihan Raya Negeri akan datang.
Pengerusi DAP itu berkata parti akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang ingkar arahan.
“Parti membuat keputusan terakhir tentang kawasan dan calon pilihan raya. Disebabkan itu, serahkan semua pengeluaran kenyataan awam kepada pemimpin tertinggi nasional, terutama sekali kepada Setiausaha Agung parti Anthony Loke Siew Fook.
“Ini akan menghalang pesaing politik kita daripada memanipulasi sebarang kenyataan dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Lim itu dikeluarkan selepas Malaysiakini menerbitkan laporan tentang kepimpinan DAP Penang dan sembilan Adunnya yang didakwa memberikan tekanan dalaman untuk Guan Eng menggantikan Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
Dalam kenyataan semalam, 10 Adun tersebut berkata adalah tidak tepat untuk mencadangkan yang mereka adalah tiga Adun yang dikatakan bercakap dengan Malaysiakini.
“Artikel itu berniat jahat dan tidak adil dengan tidak menamakan siapa tiga Adun tersebut, sekaligus meletakkan kesemua 10 Adun dari Pulau Pinang dalam keadaan mencurigakan yang tidak perlu.
“Kami sebulat suara mengesahkan tidak bercakap dengan Malaysiakini untuk artikel itu. Rujukan dalam laporan kepada mana-mana antara kami sebagai tiga Adun tersebut adalah tidak tepat dan salah. Maka, kami tidak mampu mengesahkan dari mana Malaysiakini mendapat maklumat tidak berasas itu,” kata mereka dalam satu kenyataan ringkas.
Pulau Pinang adalah salah satu daripada enam negeri- Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah yang akan mengadakan PRN dijangka selepas Jun depan.
Lim berkata Malaysiakini sudah menarik balik laporan tersebut dan meminta maaf selepas menyedari ia tidak dapat bertahan dengan cabaran diberikan.
“Sebaik menyedari yang laporan mereka tidak boleh bertahan dengan cabaran fakta dan sememangnya tidak berasas, Malaysiakini serta merta menarik balik artikel itu dan meminta maaf.
“Sebagai portal berita utama yang berwibawa seperti Malaysiakini untuk terlibat dalam pelaporan tidak bertanggungjawab itu ia adalah satu peringatan khas tentang bagaimana mendalam dan meluasnya penentang DAP dari dalam dan luar, yang berhasrat memecahkan bahagian, mewujudkan gangguan malam mensabotaj peluang kemenangan kita pada pilihan raya negeri akan datang.
“Kami hanya boleh membuat spekulasi tentang motif politik dan identity dalang konspirasi. Jelas sekali wujud cubaan berulang kali dari dalam dan luar untuk memperlekeh dan mensabotaj kepimpinan DAP kebangsaan kerana enggan tunduk kepada pandangan mereka,” katanya lagi. – 4 Mei, 2023.
Komen