Gencatan senjata di Sudan selama 7 hari bermula hari ini


Ramai berusaha menyelamatkan diri dengan cuba keluar dari Sudan yang sedang bergolak ketika ini. – Gambar Facebook, 4 Mei, 2023.

ANGKATAN bersenjata Sudan bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama tujuh hari - yang dicadangkan Pihak Berkuasa Antara Kerajaan Mengenai Pembangunan (IGAD) di Afrika Timur bermula 4 hingga 11 Mei, lapor Sputnik pada Rabu.

“Angkatan tentera menyatakan persetujuan terhadap cadangan (IGAD), berdasarkan prinsip penyelesaian Afrika kepada masalah benua serta mengambil kira aspek kemanusiaan,” menurut tentera dalam satu kenyataan.

Tentera Sudan juga mempertimbangkan inisiatif gencatan senjata AS-Saudi, menurut kenyataan itu.

“Kami berharap pemberontak (Rapid Support Forces) akan menghormati gencatan senjata yang dicadangkan,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, Kementerian Luar Sudan Selatan memaklumkan pemimpin angkatan bersenjata Sudan dan RSF bersetuju dengan gencatan senjata dari 4 hingga 11 Mei.

Menurut kenyataan itu, ketua komander tentera Sudan Jeneral Abdel Fatah Al Burhan dan pemimpin RSF Mohamed Hamdan Dagalo bersetuju untuk menamakan wakil mereka bagi memulakan rundingan.

Bagaimanapun, Yusuf Izzat penasihat kepada pemimpin RSF Mohamed Hamdan Dagalo berkata pada Selasa RSF belum bersetuju dengan gencatan senjata namun menegaskan RSF tidak menolak langkah terbabit dan mengalu-alukan semua inisiatif yang bertujuan menyelesaikan konflik dalaman di Sudan.

Pada 15 April, pertempuran ganas berlaku antara pasukan tentera Sudan dan RSF di Khartoum dan kawasan sekitar.

Pihak-pihak berkaitan melaksanakan beberapa gencatan senjata sementara di seluruh negara sejak itu tetapi pelanggaran sering kali dilakukan.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan sekurang-kurangnya 550 orang terbunuh dalam konflik itu dan hampir 5,000 cedera setakat ini. – Bernama, 4 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen